Wednesday, September 30, 2009

Tan Sri Isa Samad Calon PRK Bagan Pinang




Tahniah kepada Tan Sri Isa Samad yang terpilih sebagai calon BN di PRK Bagan Pinang. Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ayer Hitam mendoakan agar BN beroleh kemenangan dalam PRK pada kali ini. Semoga semua Jentera BN bergerak dan berfungsi dengan sebaiknya. Tan Sri akan ditentang oleh Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly Mohamad Omar.


Sumber ; http://www.utusan.com.my

Isa Samad 'sifu' di Bagan Pinang

PORT DICKSON 29 Sept. - Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Samad, 60, bukanlah orang baru di kalangan pengundi di situ.

Individu yang berpengalaman luas dalam politik itu dianggap penduduk sekitar Port Dickson dan Bagan Pinang sebagai 'sifu' mereka.

Beliau dilahirkan pada 14 November 1949 di Sungai Udang, Melaka dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bagan Pinang.

Beliau melanjutkan pelajaran ke Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung pelajaran sehingga ke peringkat universiti di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Di situ, Mohd. Isa memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera sebelum bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban dari tahun 1973 sehinggalah tahun 1978.

Bagi pengundi di Bagan Pinang, Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu merupakan pemimpin yang mesra dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja, bahkan disenangi semua kaum.

Mohd. Isa memulakan karier politiknya pada tahun 1978 dengan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Linggi, sebelum dilantik menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri sehinggalah pilihan raya pada 1982.

Pada tahun 1982, beliau dilantik Menteri Besar Negeri Sembilan sehinggalah tahun 2004 dan menyandang jawatan berkenaan selama 22 tahun - angka yang sinonim dengan nombor keahlian UMNO beliau iaitu nombor 22.

Di peringkat akar umbi pula, beliau menjadi Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang sejak 1978 sehinggalah sekarang.

Pada tahun 1993, Mohd. Isa meneruskan pengaruhnya dalam parti UMNO apabila bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO, bagaimanapun tewas kepada Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Dalam pilihan raya pada tahun 1999, Mohd. Isa menewaskan calon Pas, Dr. Rosli Yaakop di kawasan N29, Linggi.

Dalam perhimpunan Agung UMNO 2000, Mohd. Isa telah bertanding merebut jawatan Naib Presiden UMNO tetapi tewas.

Beliau dikenali sebagai individu yang tidak pernah kecewa meneruskan langkah politiknya dengan bijak dan tenteram.

Perkara itu telah dibuktikan apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Jempol pada pilihan raya tahun 2004.

Sebelum itu, kawasan Parlimen berkenaan disandang oleh Datuk Khalid Yunus. Berikutan itu, Mohd. Isa dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2006.

Mohd. Isa memenangi kerusi Naib Presiden UMNO bagi penggal 2004 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu yang tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (1,329 undi) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (1,234 undi).

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Hazizah Tumin pada 26 November 1977. Isteri beliau meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pada 7 Disember 2005 akibat kanser parotid yang dihidapi sejak 1995.

Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan empat orang anak iaitu Mohamad Najib, Megawati, Lelawati dan Juhaida.

calon pilihan rakyat - TPM

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


Muhyiddin Yassin serta pemimpin komponen Barisan Nasional mengangkat tangan selepas Mohd. Isa Samad (tengah) dipilih sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di Batu 6 Jalan Pantai, Port Dickson, semalam.

PORT DICKSON 29 Sept. - Pemilihan Tan Sri Mohd. Isa Samad, 60, sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dibuat atas kehendak akar umbi dan pengundi serta selaras dengan konsep rakyat didahulukan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehendak rakyat dahulukan dan kehendak pengundi di Bagan Pinang yang mahukan Mohd. Isa sebagai calon telah dikotakan dan utamakan.

"Kita telah teliti, bukan sahaja ditilik malahan kita juga berjumpa dengan pengundi semua peringkat masyarakat dan bertanyakan mengenai calon yang sesuai untuk menjadi wakil rakyat mereka.

"Maka atas dasar inilah dan mengambil kira semua pertimbangan sedia ada, kita ambil keutamaan rakyat didahulukan dan berharap pengundi di sini terus memberi sokongan padu kepada Mohd. Isa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan nama calon BN pada pilihan raya kecil berkenaan sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai di sini petang ini.

Muhyiddin sebelum itu secara spontan bertanyakan tiga kali mengenai siapakah calon yang dimahukan oleh lebih 10,000 rakyat yang hadir dan majlis kemudian bergema apabila kesemua hadirin secara serentak melaungkan nama Mohd. Isa.

Selepas itu, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN mengumumkan secara rasmi nama Mohd. Isa pada pukul 5.25 petang ini.

Sementara itu, pada sidang akhbarnya kemudian, Muhyiddin menjelaskan, rakyat pelbagai kaum, tidak kira Melayu, Cina dan India menerima Mohd. Isa yang cukup dikenali mereka dan pastinya sokongan itu tidak berbelah bahagi.

"Pengundi di sini sudah lama kenal beliau (Mohd. Isa), beliau begitu mesra dengan orang kampung di sini, populariti beliau tidak dapat dinafikan. Ini adalah kehendak orang tempatan.

"Sebab itulah saya tanya rakyat sebanyak tiga kali sebentar tadi. Saya tak mahu keputusan ini datang daripada saya seorang tetapi juga atas kehendak rakyat. Mereka mahukan Mohd. Isa dan ini membuktikan betapa rakyat yakin dengan kredibiliti beliau," kata beliau.

Kata Muhyiddin, walaupun mungkin dalam sejarah politik, orang akan membangkitkan pelbagai isu yang memburukkan calon BN, namun jentera parti sudah bersedia untuk menjelaskannya sebaik mungkin.

"Dalam sejarah politik, saya sendiri pun ada masalah. Sebenarnya, pengundi di Bagan Pinang, di mana tempat Mohd. Isa dibesarkan, mereka lebih mengenali hati budi beliau.

"Saya tahu pembangkang akan bangkitkan pelbagai isu, kita percaya itu dapat diatasi sebaik mungkin dan kita telah pun membuat keputusan meletakkan Mohd. Isa sebagai calon di Bagan Pinang, oleh itu saya mengharapkan sokongan daripada pengundi di sini," jelas beliau.

Mengenai kawasan di Bagan Pinang ini, Muhyiddin berkata, masih banyak lagi perlu dibangunkan lebih-lebih lagi ia merupakan lokasi strategik pelancongan.

"Kita akan terus bangunkan kawasan ini kerana sebahagian besar kawasan Bagan Pinang merupakan lokasi pelancongan.

"Saya percaya dan yakin Mohd. Isa dapat meneruskan pembangunan di kawasan ini dan dengan pengalaman yang beliau ada, penduduk akan mendapat faedah daripadanya," kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Romah Mansor tiba di lokasi pengumuman ini pada 5.30 petang untuk memberi sokongan kepada Mohd. Isa dan jentera parti.

Hadir sama pemimpin komponen BN termasuk Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai serta Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Turut hadir Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pemimpin UMNO di semua peringkat di negeri ini.

Pemilihan calon penuhi hasrat rakyat

PORT DICKSON 29 Sept. - Para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyifatkan pemilihan Tan Sri Mohd. Isa Samad, 60, sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di sini sebagai tepat dan memenuhi pilihan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, rakyat yang mahukan Mohd. Isa dan beliau merupakan 'orang lama' di Bagan Pinang serta dibesarkan di sini malahan pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun selain berpengalaman sebagai wakil rakyat lebih 30 tahun.

''Saya percaya dengan pengalaman yang ada ini serta sokongan daripada rakyat, pembangunan di Bagan Pinang dapat diteruskan oleh Mohd. Isa,'' katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai di sini hari ini.

Beliau berkata, pengundi pelbagai kaum di Bagan Pinang juga telah menunjukkan rasa setia dan sokongan padu kepada Mohd. Isa dan pembangunan di situ juga adalah kebanyakannya usaha beliau sendiri sewaktu menjadi Menteri Besar.

''Saya mahu menjelaskan, jika ada pembangkang yang membangkitkan soal politik wang, Mohd. Isa telah pun menjalani hukuman daripada UMNO dan kerajaan. Dalam erti kata lain, beliau telah 'dibersihkan'. Adalah tidak adil untuk terus menghukum beliau,'' katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Mohd. Isa adalah pemimpin yang dikehendaki rakyat dan beliau mampu memberikan yang terbaik dalam pilihan raya kecil ini.

''Ia adalah satu keputusan yang tepat. Pilihan rakyat kita dahulukan. Mohd. Isa merupakan pilihan dan kehendak daripada rakyat dan itulah yang dapat kita lihat selepas nama beliau diumumkan," katanya.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula berkata, beliau menerima baik Mohd. Isa sebagai calon di Bagan Pinang dan percaya bekas Menteri Besar itu akan mendapat sokongan daripada rakyat di sini.

''Ketika ini kita tumpukan pada usaha mendapatkan sokongan pengundi di Bagan Pinang dan tiada sebab mengapa mereka tidak memilih calon BN pada pilihan raya kecil ini kerana Mohd. Isa adalah pilihan yang tepat," kata beliau.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula berkata, pemilihan itu benar-benar menepati kehendak rakyat dan ia harus dihormati.

''Ini adalah keputusan yang dikehendaki oleh rakyat. Kita percaya, sokongan rakyat terhadap calon BN ini adalah amat positif," katanya.

Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk M. Muthupalaniappan juga menyifatkan pemilihan Mohd. Isa sebagai tepat dan rakyat menyaksikan 'kembalinya' bekas Menteri Besar itu ke dalam arena politik.

No comments:

Post a Comment