Thursday, September 17, 2009

Hargailah Orang Tua Kita..


Salam Ramadhan yang ke 27.. Semoga semua amalan kita diberkati..

Puteri merasa sedih dan sebak pabila terbaca laporan akhbar yang bertajuk 'Luluh Hati Ibu' di dalam Harian Metro bertarikh 16 September 2009. Tergamaknya seorang anak melakukan perkara sedemikian sedangkan usianya telah pun lebih 40 tahun. Usia tersebut sudah sangat dewasa dan sewajarnya dapat berfikir dengan matang. Ibunya dibiarkan selama 2 tahun di rumah jagaan warga emas dan psikatri di Jalan Denai 1, Kempas. Sangka si ibu, anaknya datang melawatnya untuk membawanya pulang menyambut lebaran bersama-sama kerana telah 2 tahun ibu malang itu berhari raya di rumah jagaan tersebut.Si ibu sangat gembira, menukar pakaian dan membungkus pakaian di dalam kain batik. Malangnya si anak, beredar secara senyap. Apabila menyedari anaknya beredar, si ibu yang telah berusia 70 an mengejar kenderaan anaknya sejauh 20 meter. Betapa kuatnya kudrat si ibu sehingga berlari sejauh itu.

Puteri berasa hairan, tidakkah ada sekelumit rasa kasih, sayang dan rindu terhadap si ibu? Tiadakah perasaan kasihan si anak kepada si ibu apabila melihat ibunya mengejarnya? Jarak antara Kempas dan Masai bukanlah jauh sangat. Apalah salahnya jika si anak bawa pulang si ibunya..Tidakkah beliau rasa teringin untuk mencium tangan ibu, memohon seribu kemaafan, memohon kehalalan makan dan air susu si ibu di pagi Syawal? Tidakkah dia sedar, siapakah yang melahirkannya, membesarkannya sehingga mengenali dunia? Betapa remuknya hati si ibu.

Tanggungjawab seorang anak lelaki terhadap ibu bapanya tidak terputus. Betapa derhakanya dia. Hargailah ibu bapa kita sementelah mereka ada. Betapa besarnya pengorbanan ibu dan bapa kita dan tidak mungkin terbalas segalanya.. Apakah bila ibu bapa telah tiada, baru kita nak menyesal!. Puteri berasa sangat terkilan dengan sikap anak Melayu beragama Islam yang memperlakukan ibu bapa mereka sedemikian rupa. Syurga di bawah tapak kaki ibu. Moga anaknya akan insaf. Bawalah pulang dan jagalah ibu mu sementara kamu dapat berbuat demikian.


p/s Ini merupakan satu pengajaran kepada kita. Sayang sangat kat mak n abah.

No comments:

Post a Comment