Wednesday, September 30, 2009

Tan Sri Isa Samad Calon PRK Bagan Pinang




Tahniah kepada Tan Sri Isa Samad yang terpilih sebagai calon BN di PRK Bagan Pinang. Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ayer Hitam mendoakan agar BN beroleh kemenangan dalam PRK pada kali ini. Semoga semua Jentera BN bergerak dan berfungsi dengan sebaiknya. Tan Sri akan ditentang oleh Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly Mohamad Omar.


Sumber ; http://www.utusan.com.my

Isa Samad 'sifu' di Bagan Pinang

PORT DICKSON 29 Sept. - Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Samad, 60, bukanlah orang baru di kalangan pengundi di situ.

Individu yang berpengalaman luas dalam politik itu dianggap penduduk sekitar Port Dickson dan Bagan Pinang sebagai 'sifu' mereka.

Beliau dilahirkan pada 14 November 1949 di Sungai Udang, Melaka dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bagan Pinang.

Beliau melanjutkan pelajaran ke Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung pelajaran sehingga ke peringkat universiti di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Di situ, Mohd. Isa memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera sebelum bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban dari tahun 1973 sehinggalah tahun 1978.

Bagi pengundi di Bagan Pinang, Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu merupakan pemimpin yang mesra dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja, bahkan disenangi semua kaum.

Mohd. Isa memulakan karier politiknya pada tahun 1978 dengan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Linggi, sebelum dilantik menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri sehinggalah pilihan raya pada 1982.

Pada tahun 1982, beliau dilantik Menteri Besar Negeri Sembilan sehinggalah tahun 2004 dan menyandang jawatan berkenaan selama 22 tahun - angka yang sinonim dengan nombor keahlian UMNO beliau iaitu nombor 22.

Di peringkat akar umbi pula, beliau menjadi Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang sejak 1978 sehinggalah sekarang.

Pada tahun 1993, Mohd. Isa meneruskan pengaruhnya dalam parti UMNO apabila bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO, bagaimanapun tewas kepada Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Dalam pilihan raya pada tahun 1999, Mohd. Isa menewaskan calon Pas, Dr. Rosli Yaakop di kawasan N29, Linggi.

Dalam perhimpunan Agung UMNO 2000, Mohd. Isa telah bertanding merebut jawatan Naib Presiden UMNO tetapi tewas.

Beliau dikenali sebagai individu yang tidak pernah kecewa meneruskan langkah politiknya dengan bijak dan tenteram.

Perkara itu telah dibuktikan apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Jempol pada pilihan raya tahun 2004.

Sebelum itu, kawasan Parlimen berkenaan disandang oleh Datuk Khalid Yunus. Berikutan itu, Mohd. Isa dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2006.

Mohd. Isa memenangi kerusi Naib Presiden UMNO bagi penggal 2004 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu yang tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (1,329 undi) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (1,234 undi).

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Hazizah Tumin pada 26 November 1977. Isteri beliau meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pada 7 Disember 2005 akibat kanser parotid yang dihidapi sejak 1995.

Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan empat orang anak iaitu Mohamad Najib, Megawati, Lelawati dan Juhaida.

calon pilihan rakyat - TPM

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


Muhyiddin Yassin serta pemimpin komponen Barisan Nasional mengangkat tangan selepas Mohd. Isa Samad (tengah) dipilih sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di Batu 6 Jalan Pantai, Port Dickson, semalam.

PORT DICKSON 29 Sept. - Pemilihan Tan Sri Mohd. Isa Samad, 60, sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dibuat atas kehendak akar umbi dan pengundi serta selaras dengan konsep rakyat didahulukan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehendak rakyat dahulukan dan kehendak pengundi di Bagan Pinang yang mahukan Mohd. Isa sebagai calon telah dikotakan dan utamakan.

"Kita telah teliti, bukan sahaja ditilik malahan kita juga berjumpa dengan pengundi semua peringkat masyarakat dan bertanyakan mengenai calon yang sesuai untuk menjadi wakil rakyat mereka.

"Maka atas dasar inilah dan mengambil kira semua pertimbangan sedia ada, kita ambil keutamaan rakyat didahulukan dan berharap pengundi di sini terus memberi sokongan padu kepada Mohd. Isa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan nama calon BN pada pilihan raya kecil berkenaan sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai di sini petang ini.

Muhyiddin sebelum itu secara spontan bertanyakan tiga kali mengenai siapakah calon yang dimahukan oleh lebih 10,000 rakyat yang hadir dan majlis kemudian bergema apabila kesemua hadirin secara serentak melaungkan nama Mohd. Isa.

Selepas itu, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN mengumumkan secara rasmi nama Mohd. Isa pada pukul 5.25 petang ini.

Sementara itu, pada sidang akhbarnya kemudian, Muhyiddin menjelaskan, rakyat pelbagai kaum, tidak kira Melayu, Cina dan India menerima Mohd. Isa yang cukup dikenali mereka dan pastinya sokongan itu tidak berbelah bahagi.

"Pengundi di sini sudah lama kenal beliau (Mohd. Isa), beliau begitu mesra dengan orang kampung di sini, populariti beliau tidak dapat dinafikan. Ini adalah kehendak orang tempatan.

"Sebab itulah saya tanya rakyat sebanyak tiga kali sebentar tadi. Saya tak mahu keputusan ini datang daripada saya seorang tetapi juga atas kehendak rakyat. Mereka mahukan Mohd. Isa dan ini membuktikan betapa rakyat yakin dengan kredibiliti beliau," kata beliau.

Kata Muhyiddin, walaupun mungkin dalam sejarah politik, orang akan membangkitkan pelbagai isu yang memburukkan calon BN, namun jentera parti sudah bersedia untuk menjelaskannya sebaik mungkin.

"Dalam sejarah politik, saya sendiri pun ada masalah. Sebenarnya, pengundi di Bagan Pinang, di mana tempat Mohd. Isa dibesarkan, mereka lebih mengenali hati budi beliau.

"Saya tahu pembangkang akan bangkitkan pelbagai isu, kita percaya itu dapat diatasi sebaik mungkin dan kita telah pun membuat keputusan meletakkan Mohd. Isa sebagai calon di Bagan Pinang, oleh itu saya mengharapkan sokongan daripada pengundi di sini," jelas beliau.

Mengenai kawasan di Bagan Pinang ini, Muhyiddin berkata, masih banyak lagi perlu dibangunkan lebih-lebih lagi ia merupakan lokasi strategik pelancongan.

"Kita akan terus bangunkan kawasan ini kerana sebahagian besar kawasan Bagan Pinang merupakan lokasi pelancongan.

"Saya percaya dan yakin Mohd. Isa dapat meneruskan pembangunan di kawasan ini dan dengan pengalaman yang beliau ada, penduduk akan mendapat faedah daripadanya," kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Romah Mansor tiba di lokasi pengumuman ini pada 5.30 petang untuk memberi sokongan kepada Mohd. Isa dan jentera parti.

Hadir sama pemimpin komponen BN termasuk Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai serta Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Turut hadir Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pemimpin UMNO di semua peringkat di negeri ini.

Pemilihan calon penuhi hasrat rakyat

PORT DICKSON 29 Sept. - Para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyifatkan pemilihan Tan Sri Mohd. Isa Samad, 60, sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di sini sebagai tepat dan memenuhi pilihan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, rakyat yang mahukan Mohd. Isa dan beliau merupakan 'orang lama' di Bagan Pinang serta dibesarkan di sini malahan pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun selain berpengalaman sebagai wakil rakyat lebih 30 tahun.

''Saya percaya dengan pengalaman yang ada ini serta sokongan daripada rakyat, pembangunan di Bagan Pinang dapat diteruskan oleh Mohd. Isa,'' katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai di sini hari ini.

Beliau berkata, pengundi pelbagai kaum di Bagan Pinang juga telah menunjukkan rasa setia dan sokongan padu kepada Mohd. Isa dan pembangunan di situ juga adalah kebanyakannya usaha beliau sendiri sewaktu menjadi Menteri Besar.

''Saya mahu menjelaskan, jika ada pembangkang yang membangkitkan soal politik wang, Mohd. Isa telah pun menjalani hukuman daripada UMNO dan kerajaan. Dalam erti kata lain, beliau telah 'dibersihkan'. Adalah tidak adil untuk terus menghukum beliau,'' katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Mohd. Isa adalah pemimpin yang dikehendaki rakyat dan beliau mampu memberikan yang terbaik dalam pilihan raya kecil ini.

''Ia adalah satu keputusan yang tepat. Pilihan rakyat kita dahulukan. Mohd. Isa merupakan pilihan dan kehendak daripada rakyat dan itulah yang dapat kita lihat selepas nama beliau diumumkan," katanya.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula berkata, beliau menerima baik Mohd. Isa sebagai calon di Bagan Pinang dan percaya bekas Menteri Besar itu akan mendapat sokongan daripada rakyat di sini.

''Ketika ini kita tumpukan pada usaha mendapatkan sokongan pengundi di Bagan Pinang dan tiada sebab mengapa mereka tidak memilih calon BN pada pilihan raya kecil ini kerana Mohd. Isa adalah pilihan yang tepat," kata beliau.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula berkata, pemilihan itu benar-benar menepati kehendak rakyat dan ia harus dihormati.

''Ini adalah keputusan yang dikehendaki oleh rakyat. Kita percaya, sokongan rakyat terhadap calon BN ini adalah amat positif," katanya.

Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk M. Muthupalaniappan juga menyifatkan pemilihan Mohd. Isa sebagai tepat dan rakyat menyaksikan 'kembalinya' bekas Menteri Besar itu ke dalam arena politik.

Subsidi Beras Untuk Golongan Miskin

Salam 1Malaysia dan Salam Lebaran,

Hari ini saya terbaca satu artikel di dalam blog Dato Noh Omar dan sangat tertarik dengan langkah beliau melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memberikan subsidi beras kepada golongan miskin melalui kaedah kupon. Ia merupakan satu langkah yang sangat baik yang mana ia dapat diberikan secara terus kepada golongan sasaran. Namun, saya tertanya-tanya juga siapakah Ahli Jawatankuasa Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPP) Ayer Hitam yang akan ditugaskan untuk mengenal pasti golongan miskin dan miskin tegar di kawasan parlimen untuk diberikan kupon.Bukannya apa, kalau kita tahu siapa pihak tersebut, bolehlah puteri dan Biro Kebajikan UMNO Ayer Hitam turut membantu dalam usaha mengenalpasti golongan sasaran.Berikut adalah petikan artikel

Sumber ; http://www.nohomar.com/2009/09/subsidi-beras-untuk-golongan-miskin.html



Setelah duduk berbincang dengan mengambil kira cadangan, pendapat, aduan dan rungutan rakyat pelbagai pihak termasuklah pengunjung-pengunjung di blog ini, baru-baru ini saya telah mengumumkan bahawa mulai 1 Disember ini, kerajaan akan memberikan subsidi beras secara terus kepada golongan berpendapatan rendah melalui sistem penggunaan kupon.

Kabinet secara dasarnya bersetuju dengan kaedah baru pemberian subsidi ini dan bagi memastikan rakyat tidak menghadapi masalah dengan polisi baru, pihak kementerian akan menjalankan projek perintis sistem kupon pada November ini.

Saya telah meminta Ahli Jawatankuasa Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPP) di seluruh negara mengenal pasti golongan miskin dan miskin tegar di kawasan parlimen masing-masing untuk diberikan kupon supaya tidak ada yang tercicir. Buat masa sekarang kementerian telah menerima senarai ramai 109,000 keluarga miskin dan miskin tegar yang layak menerima subsidi ini. Mana-mana pihak yang patut dapat tetapi tertinggal namanya bolehlah mengadu kepada MPP atau kementerian selepas ini.

Saya melihat perlaksanaan sistem baru ini akan membantu kerajaan berjimat sebanyak RM50 juta sebulan. Ini kerana, sebelum ini kerajaan membayar purata RM60 juta setiap bulan bagi subsidi beras ST15 kepada pengilang tetapi tidak semua rakyat yang mendapat faedahnya dan masih merungut sukar mendapatkan beras ST 15 kerana ia dijual dipasaran terbuka dan semua orang boleh membelinya.

Kita tidak mahu kerajaan banyak belanja tapi rakyat tidak dapat faedah..jadi dengan pelaksanaan sistem baru ini, kerajaan cuma belanja RM10 juta dan subsidi akan disalurkan terus kepada golongan yang benar-benar layak dan memerlukan. Sesungguhnya, rakyat sentiasa didahulukan!

p/s harapan puteri, jangan la ada yang tercicir dari menerima subsidi ini di Parlimen Ayer Hitam dan biarlah mereka yang benar-benar layak menerimanya.

Friday, September 18, 2009

Program Puteri Menyusur Akar - Kunjungan Menjelang Syawal

Alhamdulillah, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ayer Hitam telah mengunjungi Pakcik Zabdi buat kali kedua dalam siri program Puteri Menyusur Akar - Kunjungan Menjelang Syawal di Kampung Parit Shukor Darat tepat jam 6 petang pada 17 September 2009. Pakcik Zabdi menyambut kehadiran kami dengan senyuman. Beliau sedang menyiapkan pangkin. Katanya, anaknya yang tinggal di Kedah akan pulang beraya..Jadi boleh mereka duduk-duduk di pangkin sambil bercerita.

Pada awalnya, YB Datuk Samsolbari Bin Jamali, Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam / ADUN Semarang berhasrat untuk bersama-sama kami dalam program ini,namun tidak berkesempatan. Kali nie, Abang Baadin, AJK Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam bersama isterinya Izan dan ibunya telah turut serta dalam rombongan kami.Kami agak terkilan kerana Haji Rashid Bin Abdul Hamid, Pen. Setiausaha Pergerakan Pemuda Bahg. tidak dapat bersama kami pada kali ini. Semasa rombongan kali pertama, beliaulah yang sudi mengiringi kami untuk berjumpa dengan Pakcik Zabdi. Saudara Yus dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Pahat turut bersama-sama kami pada kali ini. Syukur ke Hadrat Illahi kerana pada kali ini kami telah dipertemukan dengan isteri, anak dan menantu Pakcik Zabdi. Dapatlah kami mengeratkan hubungan bersama keluarga pakcik Zabdi.

Shasha, AJK Puteri teringat kepada atuknya kerana wajah Pakcik Zabdi seiras dengan atuknya. Mungkin Shasha bolehlah anggap Pakcik Zabdi sebagai Atuk Angkat. Buat Zura pula, dia mendengar kisah menarik yang disampaikan oleh isteri pakcik Zabdi berkaitan bunga yang ditanam di rumah pakcik nie.. Bunga Harum Sundal Malam..meremang bulu tengkuk zura bila dengar ceritanya..kebetulan pula kami berkunjung pada hari khamis..maknanya malam tu malam jumaat.. hehehheh...

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ayer Hitam merakamkan ribuan terima kasih kepada para dermawan yang menyumbangkan kuih raya, toto, pakaian, kain pelikat, kain batik, kain tudung, makanan bermasak, bahan masakan basah dan kering,tong air bersih dan wang ringgit. Kepada ahli-ahli rombongan, saya ucapkan terima kasih juga kerana sudi bersama-sama saya. Semoga segala pengorbanan masa dan tenaga kalian akan diberkati Allah SWT. Buat pengetahuan semua, YB Datuk Samsolbari Bin Jamali, Ketua UMNO Bahagian / ADUN Semarang memaklumkan bahawa permohonan rumah telah dibuat dan pakcik Zabdi telah menerima bantuan dari Jabatan Kemajuan Masyarakat sebanyak RM 300.00 sebulan. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga permohonan rumah baru untuk pakcik zabdi diluluskan. Amin..









Thursday, September 17, 2009

Hargailah Orang Tua Kita..


Salam Ramadhan yang ke 27.. Semoga semua amalan kita diberkati..

Puteri merasa sedih dan sebak pabila terbaca laporan akhbar yang bertajuk 'Luluh Hati Ibu' di dalam Harian Metro bertarikh 16 September 2009. Tergamaknya seorang anak melakukan perkara sedemikian sedangkan usianya telah pun lebih 40 tahun. Usia tersebut sudah sangat dewasa dan sewajarnya dapat berfikir dengan matang. Ibunya dibiarkan selama 2 tahun di rumah jagaan warga emas dan psikatri di Jalan Denai 1, Kempas. Sangka si ibu, anaknya datang melawatnya untuk membawanya pulang menyambut lebaran bersama-sama kerana telah 2 tahun ibu malang itu berhari raya di rumah jagaan tersebut.Si ibu sangat gembira, menukar pakaian dan membungkus pakaian di dalam kain batik. Malangnya si anak, beredar secara senyap. Apabila menyedari anaknya beredar, si ibu yang telah berusia 70 an mengejar kenderaan anaknya sejauh 20 meter. Betapa kuatnya kudrat si ibu sehingga berlari sejauh itu.

Puteri berasa hairan, tidakkah ada sekelumit rasa kasih, sayang dan rindu terhadap si ibu? Tiadakah perasaan kasihan si anak kepada si ibu apabila melihat ibunya mengejarnya? Jarak antara Kempas dan Masai bukanlah jauh sangat. Apalah salahnya jika si anak bawa pulang si ibunya..Tidakkah beliau rasa teringin untuk mencium tangan ibu, memohon seribu kemaafan, memohon kehalalan makan dan air susu si ibu di pagi Syawal? Tidakkah dia sedar, siapakah yang melahirkannya, membesarkannya sehingga mengenali dunia? Betapa remuknya hati si ibu.

Tanggungjawab seorang anak lelaki terhadap ibu bapanya tidak terputus. Betapa derhakanya dia. Hargailah ibu bapa kita sementelah mereka ada. Betapa besarnya pengorbanan ibu dan bapa kita dan tidak mungkin terbalas segalanya.. Apakah bila ibu bapa telah tiada, baru kita nak menyesal!. Puteri berasa sangat terkilan dengan sikap anak Melayu beragama Islam yang memperlakukan ibu bapa mereka sedemikian rupa. Syurga di bawah tapak kaki ibu. Moga anaknya akan insaf. Bawalah pulang dan jagalah ibu mu sementara kamu dapat berbuat demikian.


p/s Ini merupakan satu pengajaran kepada kita. Sayang sangat kat mak n abah.

Tuesday, September 15, 2009

Salam Lebaran


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Barisan kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ayer Hitam mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga Parlimen Ayer Hitam. Sepuluh Jari disusun mohon ampun dan maaf kiranya Pergerakan Puteri ada terkasar bahasa dan terlajak perbuatan sepanjang kami berkhidmat dan menabur bakti. Kami doakan kesejahteraan semua warga Parlimen Ayer Hitam. Berhati-hatilah di Jalan Raya dan Ingatlah orang yang tersayang. Jangan dilupa keluarga yang sentiasa menanti kepulangan kita.

Monday, September 14, 2009

Majlis Tadarus dan Khatam Al Quran








Pada 13 September 2009, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ayer Hitam telah menjalinkan kerjasama bersama UMNO Bahagian Ayer Hitam, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Batu Pahat, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam, Majlis Belia Daerah Batu Pahat, Gerakan Belia 4B(M) Kawasan Ayer Hitam dan Kelab Rakan Muda Ayer Hitam telah melaksanakan program Tadarus dan Khatam Al Quran di Masjid Jamek Kampung Haji Ghaffar. Lebih 200 orang peserta telah menyertai program ini.

Monday, September 7, 2009

Puteri Menyusur Akar - Kembara Kebajikan Ramadhan 2009



Pada 06 September 2009, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ayer Hitam telah melaksanakan program Puteri Menyusur Akar - Kembara Kebajikan Ramadhan. Program ini dilaksanakan di DUN Yong Peng dan DUN Semarang. Kami telah berpecah kepada dua kumpulan. Bagi DUN Yong Peng, ia diketuai oleh Saudari Siti Aileza Ahmad @ Ismail, Naib Ketua Puteri Bhg manakala di DUN Semarang diketuai oleh Saudari Nuriyati Md Ithnin, Ketua Puteri Bhg.Team DUN Yong Peng telah mengunjungi 13 buah rumah manakala bagi DUN Semarang sebanyak 19 buah rumah. Semangat kami berkobar-kobar untuk menjelajah seluruh pelosok parlimen ayer hitam. Alhamdulillah, di DUN Semarang cuaca redup manakala kami difahamkan oleh sdri. lili, team yong peng berhadapan dengan hujan. Takpe lili, itu hujan rahmat.Kami memulakan pengembaraan penuh makna ini pada jam 9pagi..sebab si syasya yang bawak sumbangan ni sedikit terlewat..Di DUN Yong Peng, program berakhid jam 1 petang manakala bagi DUN Semarang berakhir pada jam 4 petang.Sesungguhnya, program ini memberikan seribu keinsafan kepada kami bahawa ada insan-insan lain yang lebih kurang bernasib baik berbanding kami. Masing-masing memikirkan apakah juadah mereka semasa berbuka puasa pada petang ini.Kita beruntung kerana kita boleh makan apa yang kita inginkan, dan kadang kala makanan kita itu berakhir di tong sampah. Sedangkan mereka ini, makan seadanya.. Bagaimana agaknya mereka menyambut Syawal yang bakal menjelma?Buat pakcik yang tinggal serba daif di Kampung Parit Shukor, Insyaallah sebelum menjelangnya raya, kami akan mengunjungi pakcik sekali lagi..Kepada rakan-rakan Puteri, jangan dilupa jasa dan pengorbanan ibu bapa kita.. Jangan kita abaikan mereka..Bagi mereka yang berjauhan daripada ibu bapa, jenguk-jenguk la ibu bapa kita..Sementelah mereka ada di dunia ini lagi..Betapa insafnya kami melihat mereka yang dilupakan oleh anak-anak..Ada juga yang dilupakan oleh adik beradik..Tergamaknya mereka ini..Berikut adalah beberapa rakaman photo yang sempat di ambil. Semoga sama-sama kita mengambil iktibar.



Nenek ini telah pun berusia 90 tahun. Tinggal di Kampung Olak Batu bersama seorang anaknya yang juga uzur.



Sedih kami dengar cerita nenek ni yang tinggal menumpang di rumah saudara di Kampung Parit Haji Talib.. katanya sambil menangis," dah 15 tahun nenek duduk sini, inilah pertama kali nenek dapat macam nie dari cucu-cucu nie. Nenek doakan kesejahteraan hidup cucu-cucu semua".Kami semua sebak, tapi tahankan diri dari menangis.



Nenek ni pula tinggal kat Kampung Baru."Bulan puasa nie, anak-anak nenek belum balik lagi. Ada yang dok kat Labis, Segamat, Kahang, Kluang. Raya, nenek tunggu juga mereka balik, tapi takde.Ye la, masing-masing dok jauh". Kawan-kawan, Kluang jauh ker?



Nenek ni tinggal di Kampung Sri Bongsu dengan seorang anaknya. Kalau ikutkan, dia boleh dapat bantuan Rumah PPRT. Tapi malangnya, adik beradik tak sudi nak bagi tapak tanah yang tinggal berdekatan dengan rumah nenek nie.



Pakcik nie pula tinggal di Kampung Parit Shukor..tinggal di rumah yang diperbuat daripada kayu leban. Masa kami datang, pakcik nie sedang membersihkan kayu-kayu leban.Di rumahnya, tidak ada bekalan elektrik dan air. Menggunakan air tadahan hujan dan air dari parit untuk kegunaaan harian. Pakcik ni sakit buah pinggang manakala isterinya sakit jantung.Mereka hidup serba kekurangan.



Di sinilah, anak pakcik ini bersama isterinya tidur pada waktu malam..Cuba bayangkan..kalau kita di rumah pun merungut kalau nyamuk menggigit..bayangkan bagaimana pasangan suami isteri ini tidur?



Ini merupakan pandangan dari hadapan keadaan rumah pakcik ini.



Kakak ni juga tinggal di Kampung Parit Shukor..Mempunyai seorang anak yang kurang bernasib baik. Walaupun, beliau juga hidup serba kekurangan, namun beliau yang banyak membantu pakcik tersebut.



p/s Insaf.. Insaf..Insaf..


Tuesday, September 1, 2009

Puteri UMNO Pelopor Budaya Meniru??

Assalamualaikum dan salam sejahtera.. dah beberapa hari puteri tak menjenguk blog ini..bukan apa..tak sempat..banyak urusan nak dilaksanakan..pagi-pagi macam nie..dok jenguk2 blog2.. kot-kot ada berita sensasi..rupa2 nya memang ada.. SABO JE LAH..kali ni saudara kita nie tuduh pulak PUTERI UMNO PELOPOR BUDAYA MENIRU sebab buat senaman poco-poco.. Menurut info yang dipaparkan..asal usul poco-poco ni dari Filipina bukannya Indonesia.. ditarikan semasa menghadiri upacara mingguan..dan pergerakan tarian ini berupa salib yang dimulakan dari gerakan kiri..Kalau benarlah info yang diberikan ini.. Puteri juga tidak akan meneruskan amalan senaman ini. Yang Puteri kesal.. apala salahnya kalau menegur dengar cara yang baik..janganlah suka melabel..Kita nie semua bukannya sempurna..Kita pun suka kalau org menegur kita kalau apa yang kita buat nie bertentangan dengan agama..Senaman ini bukan sahaja dilakukan oleh Puteri malah ramai orang..Puteri pun belajar senaman ini dari orang lain..Jadi janganlah nak menuduh Puteri ni Pelopor Budaya Meniru yea...

Sumber: http://passembrong.blogspot.com

Sunday, August 30, 2009

Asal-Usul Poco-poco Terbongkar - Puteri Umno Pelopor Budaya Meniru



Foto Puteri Umno Bahagian Pandan menarikan tarian poco-poco yang entah berasal dari mana, main tiru sahaja budaya orang luar.


By: PakarHowTo

Di syarikat tempat saya bekerja sekarang, pada setiap hari Selasa dan Jumaat selepas waktu kerja, mereka ada adakan latihan senaman. Senaman itu sebenarnya bukanlah senaman biasa, tetapi lebih kepada tarian poco-poco.

Saya secara peribadinya tidak menentang aktiviti ’senaman’ ini. Lebih-lebih lagi ianya dilakukan untuk tujuan kesihatan. Tetapi apabila senaman ini tampaknya sudah tidak jadi senaman, sebaliknya hanyalah tarian yang dilakukan untuk berseronok-seronok, maka saya memang tidak setuju.

Tambahan pula, baru-baru ini, saya ada terbaca mengenai satu artikel yang menerangkan tentang rahsia atau asal usul tarian poco-poco yang sangat popular sekarang.

Secara jujurnya, sebelum ini, saya sebenarnya tidak pernah ambil peduli dan tak ambil tahu pun tentang latar belakang, asal-usul dan motif tarian poco-poco ini. Namun selepas membaca 1 artikel ini, membuatkan saya tersentak dan terkejut dengan apa yang diterangkannya.

Saya tidak pasti, apakah info atau maklumat mengenai rahsia tarian poco-poco ini adalah fakta sebenar atau tidak. Tetapi kita sebagai orang Islam sewajarnyalah mengambil berat tentang dakwaan ini. Kerana kita bimbang, dek kerana kita suka dan ikut sangat tarian ini, kita nanti akan termasuk dalam golongan mereka itu.

Bukankah Nabi SAW dah pesan melalui sabdaan nya ;
“Man tasyabbaha bi qaumin fahua minhum”.

Bermaksud : Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka seseorang itu terdiri dari kalangan mereka) (iaitu kaum berkenaan).

Hadis ini juga secara tidak langsung menggambarkan kepada kita bahawa umat Islam perlu kekal dengan identiti dan jatidiri mereka sebagai muslim. Mereka dilarang dari menyerupai golongan musyrikin disebabkan akidah seseorang muslim itu terangkum tiga dimensi iaitu perkataan, perbuatan dan pegangan.

Jadi, saya berpandangan, jika benar info atau fakta mengenai tarian poco-poco ini, maka kita sebagai orang Islam mestilah meninggalkannya. Tidak usahlah menari poco-poco lagi. Kalau minat dan nak sangat menari, carilah tarian lain.

Rahsia Asal Usul Tarian Poco-poco.

Alhamdulillah kerana kita semua masih bernafas lagi dgn keizinanNya. Saya ingin berkongsi dgn rakan-rakan semua tantang tarian poco-poco yang sedang hangat ditarikan oleh semua lapisan masyarakat, umumnya masyarakat kita yg beragama islam terutama suri-suri rumah dan badan-badan kerajaan ketika manghadiri kursus.
Sebenarnya tarian poco-poco ini berasal dari Filipina bukannya dari Indonesia. Ia ditarikan oleh masyarakat yg berugama kristian ketika mereka menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka. Lihatlah sahaja bagaimana pergerakannya, yang membentuk salib.

Mungkin kita tak perasan kerana kita suka mengikut-ikut sesuatu yg baru tanpa usul periksa. Inilah cara musuh-musuh islam mengenakan kita sedangkan kita tahu apabila kita melakukan sesuatu yg menyerupai sesuatu agama maka kita dikira merestui agama itu seperti amalan yoga yg telah difatwakan haram kerana menyerupai agama Hindu. cuma tarian pocoh2 ini belum difatwakan haram lagi. Marilah kita sama2 fikirkan.
Saya dulu pernah terfikir, kenapa tarian itu dimulakan dari kiri? Dan apa jenis senaman ini? Relevankah tarian ini, yang kelihatan seperti tidak siuman?

Saya menyeru kepada diri anda semua supaya mengambil inisiatif untuk tidak lagi ‘menarikan’ lagi tarian ini yang ternyata mensyirikkan Allah tanpa kita sedar. Dan paling utama memohon keampunan daripada Allah S.W.T atas kejahilan kita tentang perkara ini sebelum ini.

Semoga mendapat perhatian pihak berkenaan agar mengkaji secara terperinci tentang kesahihan perkara ini,asal usul dan kesannya kepada akidah umat Islam dan mengeluarkan fatwa tentang tarian ini,agar Umat Islam tidak berterusan di dalam kelalaian dan ‘keasyikkan’ menarikan tarian ini.

Haaa, siapa minat menari poco-poco? Pernah menari poco? Saya dulu pernah gak sekali menari poco-poco, sebab kena paksa ngan boss untuk ikut sama menari dalam satu majlis yang dianjurkan oleh syarikat.

Tapi lepas saya baca artikel ni, saya rasa lepas-lepas ni, saya tak akan lagi menari poco-poco ni. Korang bagaimana?