Saturday, August 22, 2009

Isu Masuk Syurga


Rakan-rakan seangkatan seperjuangan.. Baru-baru ini Nik Aziz telah membuat kenyataan di Permatang Pasir bahawa penyokong UMNO TIDAK AKAN MASUK SYURGA. Puteri hairan, bagaimana seseorang yang digelar sebagai 'Tok Guru' boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa. Selayaknya, sebagai seorang 'Tok Guru' beliau menjadi contoh kepada orang lain..Bukankah Allah SWT sahaja yang ber HAK untuk menentukan nasib setiap hambanya? Siapakah beliau untuk meletakkan nasib seseorang itu? Bagaimana pula pengikut-pengikut PAS ini boleh menerima perkara ini begitu sahaja?? Sokong PAS terus dapat masuk syurga?? Puteri rasa tercalar dengan kenyataan beliau..Kita ni sebangsa..seagama..Apa bangsa lain dan yang beragama lain akan fikir ? Berikut adalah keratan-keratan akhbar yang Puteri selitkan.. Semoga kita dapat timbang2kan dan fikir2kan..


Isu masuk syurga: Transkrip kenyataan Nik Aziz

KUALA LUMPUR 20 Ogos – TV3 malam ini menyiarkan rakaman audio Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika sidang akhbar di Pulau Pinang pada 17 Ogos lalu.

Berikut ialah transkrip rakaman audio yang disiarkan oleh Buletin Utama:

‘‘Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO.

‘‘Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur. Bertengkar atas muka tak habis-habis dengan Melayu sendiri boleh bertengkar.’’


Nik Aziz pertikai Jawatankuasa Muzakarah

KOTA BHARU 20 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung kenyataannya mengenai penyokong UMNO tidak masuk syurga kerana ia dibuat tanpa mendapat penjelasan beliau terlebih dahulu.

Beliau menyifatkan jawatankuasa tersebut sebagai tidak profesional dan keputusan itu telah dipengaruhi oleh pihak lain.

Pada masa sama, Menteri Besar Kelantan itu tetap berpegang dengan pendirian bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga disebabkan parti tersebut memisahkan agama dengan politik.

"Dia (Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan) dengar laporan daripada akhbar saja. Kenapa tidak tanya saya dulu, tak betul kerja dia tu, tidak profesional dan dipengaruhi oleh benda lain.

"Tak payah (jumpa jawatankuasa itu), dia nak penjelasan, dia beri surat kepada saya, kalau dia datang lebih baik. Saya bersedia bila-bila masa untuk memberikan penjelasan kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin yang disiarkan media hari ini.

Jawatankuasa itu memutuskan kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa sesiapa yang menyokong UMNO tidak akan masuk syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ia selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa itu pada tahun 2000 iaitu ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak akan berhenti untuk mengeluarkan kenyataan walaupun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Selagi orang kacau saya, saya akan terang sampai dia puas hati. Dia nak terima atau tak, dia punya pasal. Kalau tak kena atau tak puas hati tanya saya, jangan tanya surat khabar.

"Apa yang orang nak kata pada saya katalah tetapi apa sudahnya, biarlah ada hujah, kalau betul saya terima. Kalau tak betul saya anggap mengumpat, saya tengok sebanyak mana jawapan surat khabar tidak ada hujah, saya nak tumpang ilmu pun tidak boleh," katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa yang menentukan jalan syurga atau neraka ialah Allah.

"Yang menentukan jalan syurga dan neraka ialah Allah dan yang memberitahu kepada kita ialah nabi dan apabila nabi mati tugasnya disambung oleh alim ulama.

"Saya bukan menentu syurga dan neraka yang menentu ialah Allah. Saya cuma penyambung tugas Nabi Muhammad SAW," katanya.

No comments:

Post a Comment